Tuesday, March 10, 2009

KUASA 785

Tidak sabar rasanya untuk semua orang menunggu terutamanya ahli-ahli Pemuda UMNO dan Parti Pembangkang untuk melihat kepimpinan baru yang akan menerajui Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang akan diketahui pada 25 Mac 2009 ini.

Pemilihan kepimpinan Pemuda UMNO merupakan proses biasa yang akan diadakan setiap 3 tahun tetapi apa yang lebih menarik pada kali ini adalah kerana jawatan tertinggi dalam institusi Pemuda dipertandingkan.

785 undi yang akan menentukan dunia baru Pemuda UMNO setelah YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein menerajui Pemuda selama 11 tahun bermula pada tahun 1998-2009.

785 undi yang akan dibelai, dipujuk, ditambat, didampingi & disayangi oleh YB Dato' Mukhriz, YB Dato' seri Khir & YB Khairy untuk menduduki kerusi tertinggi Pemuda UMNO.

785 undi yang akan dibelai, dipujuk, ditambat, didampingi & disayangi oleh YB Dato' Razali & Dato' Reezal untuk menduduki kerusi kedua tertinggi Pemuda UMNO.

785 undi yang akan dibelai, dipujuk, ditambat, didampingi & disayangi oleh 65 orang Calon untuk mengisi 20 kerusi Exco Pemuda UMNO.

Tetapi jangan kita lupa.

785 undi ini yang akan menggagalkan impian 2 orang calon Ketua Pemuda.

785 undi ini yang akan menggagalkan impian seorang calon Naib Ketua Pemuda.

785 undi ini yang akan menggagalkan impian 45 orang calon Exco Pemuda.

785 undi ini juga yang akan mengubah lanskap politik Pemuda UMNO.

Tuesday, April 8, 2008

Persengketaan Yang Merugikan

Keadaan politik Negara semakin bertambah gawat. Sikap kebudak-budakan telah ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin yang kita cukup segani selama ini. Tidak kelihatan satu usaha pun untuk memulihkan semula keadaan dan semangat.

Hasil daripada kekalahan teruk BN dalam PRU 12 yang lepas, semua orang main tunjuk-menunjuk antara satu sama lain. Sebahagian besar ahli-ahli UMNO di akar umbi seakan bersetuju dengan pendekatan yang dibawa oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan meletakkan tanggungjawab ini di atas bahu Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, selaku Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.

Segelintir Pemimpin-pemimpin UMNO yang berjawatan pula terus mempertahankan kredibiliti Presiden UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat Bahagian pula lebih banyak mendiamkan diri dan akan meluahkan pendirian masing-masing apabila tiba masanya nanti.

Apa yang kita telah nampak dengan jelas hari ini, rakyat termasuk ahli-ahli UMNO telah menunjukkan terdapat kepincangan yang berlaku dalam parti dan kerajaan. Tetapi kepincangan ini tidak dilihat oleh pemimpin-pemimpin yang ada untuk diperbaiki agar keutuhan Negara dan UMNO dapat dipertahankan.

Kegagalan pemimpin-pemimpin yang cukup ketara pada hari ini adalah untuk menyelesaikan masalah. Tiada satu pendekatan yang efektif diambil bagi menangani masalah kerana pemimpin lebih berminat kepada menidakkan dan menentang segala kritikan yang dilemparkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri. Ini merupakan perbuatan yang cukup sumbang dimata rakyat dan ahli-ahli UMNO.

Tetapi yang cukup menyedihkan persengketaan ini tidak sedikitpun membantu untuk memulihkan semula parti. Segala kritikan yang dilemparkan dibalas dengan kritikan sehingga membongkar sejarah yang telah lama dilupakan.

Pemimpin-pemimpin UMNO masih belum sedar pemberontakan rakyat dan ahli-ahli UMNO menolak mereka. Malah kepimpinan tertinggi UMNO sendiri telah menjadikan ahli-ahli UMNO sendiri sebagai punca tsunami PRU 12.

Kepimpinan UMNO perlu mengkaji dan menghalusi kenapa ahli-ahli UMNO sendiri mengkhianati parti dalam PRU 12. Ahli-ahli UMNO hanya memberi gambaran dimana kepimpinan UMNO perlu sedar kerana terdapat banyak kelemahan dalam kepimpinan.

Hentikanlah segala persengketaan, ahli-ahli UMNO dan seluruh rakyat telah memberi gambaran bahawa persengketaan ini hanya boleh dihentikan dengan perubahan.

Thursday, April 3, 2008

Lahirkan Semula Demokrasi Dalam UMNO

Semua telah ditakdirkan dan ditentukan oleh yang maha Esa. Kekalahan adalah perkara biasa bagi manusia tetapi kekalahan teruk dan mengaibkan BN/UMNO dalam Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU 12) yang lepas merupakan perkara yang amat luar biasa.

Ini merupakan sejarah yang tidak akan dilupakan oleh ahli UMNO ataupun pembangkang. Kealpaan, keegoan, keangkuhan, ketidakjujuran dan kegagalan pemimpin-pemimpin UMNO telah diterjemahkan oleh rakyat dalam PRU 12 baru-baru ini.

Ianya telah memberi ruang dan peluang seluas-luasnya kepada pembangkang yang ternyata begitu teruja dengan kemenangan yang tidak dijangka. Pemimpin-pemimpin UMNO pada hari ini perlu membuka mata dan telinga seluas-luasnya setelah dibutakan dan ditulikan dengan keangkuhan dan keegoan mereka selama ini.

Angin dan arus perubahan telah diteriakkan oleh ahli-ahli UMNO di akar umbi secara terang-terangan tanpa mengira latar-belakang. Akar umbi memerlukan bintang baru yang boleh mendengar rintihan mereka sebagai pemimpin.

Mereka telah muak dan jelak kerana mengikut arahan dan saranan pemimpin yang ternyata songsang dengan perjuangan UMNO yang sebenarnya iaitu memperjuangkan suara mereka. Mereka tidak mahu lagi pemimpin-pemimpin yang 'bobrok' memimpin parti.

Akar umbi tidak mahukan pembaharuan dasar atau polisi parti kerana apa yang mereka mahukan adalah perubahan kepimpinan kerana itu merupakan penawar yang terbaik untuk mengubati UMNO.

Ahli-ahli UMNO di akar umbi merupakan kekuatan kepada parti dan pemimpin UMNO. Akar umbi juga yang mempunyai hak dan tanggungjawab dalam meletak dan memartabatkan pemimpin mereka.

Pemimpin-pemimpin UMNO pada hari ini perlu membuka ruang seluas-luasnya kepada akar-umbi untuk memilih pemimpin yang boleh menjadikan UMNO kembali keramat. Demokrasi dalam UMNO perlu dilahirkan semula kerana ianya telah mati terlalu lama.

Diharapkan tiada usaha-usaha dan tawar-menawar yang diberikan oleh mana-mana pihak bagi menghalang Demokrasi dalam UMNO dilahirkan semula. Hanya Demokrasi yang dapat menyelamatkan UMNO pada hari ini.

orang-kite

Assalamualaikum......

Selamat melayari blog orang-kite. Hari ni aku dah mula mengorak langkah sebagai seorang bloggers. Aku akan gunakan blog ini sebagai gelanggang politik Malaysia. Ini disebabkan aku sudah cukup muak dan jelak melihat senario politik negara yang telah menghukum rakyat yang tidak berdosa. Aku harap, rakan-rakan bloggers yang ada dapat memberi buah fikiran yang tepat, pada dan diterima akal untuk memastikan kedaulatan Agama, Bangsa & Negara kite dipertahankan. Ayuh ! bersama dengan orang-kite.